My Life


I made this widget at MyFlashFetish.com.

ting tong !

My photo
senyum jgn disangka bahagia .. :)

Saturday, September 29, 2012

SALASILAH FAMILY .. =,=


Sejarah Tuan Lembut dan zuriat keturunannya


TUAN LEMBUT, begitulah namanya. Apabila mendengar namanya, mungkin ramai yang menggaru-garukan kepala, lalu bertanya, “siapakah pula gerangannya orang ini ?”. Tidak pernah pula tercatat dalam mana-mana buku atau catatan sejarah nama tokoh ini. Mungkin juga ramai yang menganggap Tuan Lembut ini seorang wanita kerana namanya “Lembut” yang sinonim dengan perwatakan wanita yang lemah lembut.   Terpulanglah kepada andaian masing-masing untuk mentafsirkannya.
Tuan Lembut  menurut riwayat adalah merupakan seorang Putera Raja yang pernah menjadi Raja Muda atau Putera Mahkota di dalam salah sebuah negeri di dalam Empayar Kesultanan Melayu Patani. Walau bagaimanapun nasibnya agak malang kerana akhirnya beliau terusir dari negeri kelahirannya, hilang keluarga, pangkat dan keturunan, terpaksa merantau dan mencari untung nasib ke negeri orang.

Versi Pertama

Menurut Nik Yunus bin Nik Sulaiman, Tuan Lembut dikatakan terpaksa berhijrah ke Kelantan setelah Negara Patani tewas dalam peperangan dengan Siam. Beliau bersama dua orang lagi saudaranya telah diarahkan oleh ayahandanya supaya menyelamatkan diri ke Kelantan.
Pandangan Nik Yunus bin Nik Sulaiman ini turut dikongsi oleh Tengku Mohamad bin Tengku Ismail yang pernah mendengar Tuan Guru Haji Daud, Bukit Abal berkata bahawa beliau adalah dari keturunan Raja Jambu, Patani yang asal, iaitu yang  bersaudara dengan Long Gaffar. Kehadiran Tuan Lembut di Kelantan dipercayai selepas  Patani tewas dalam peperangan dengan Siam iaitu kira-kira pada tahun 1785 Masehi.



Mereka bertiga dikatakan telah berpecah bagi mengelakkan daripada dikesan oleh tentera Siam. Mereka kemudiannya berkumpul semula di negeri Legeh  dan kemudiannya masuk ke Kelantan melalui satu tempat yang kemudiannya dikenali sebagai Legeh (sempena dengan nama negeri Legeh di Patani) yang terletak di Hulu Kelantan.


Persekutuan Besar Empayar Kesultanan Melayu Patani, pada masa kemuncak kegemilangannya pernah mengandungi sebanyak 43 buah negeri

Dipercayai juga mereka bertiga telah menetap seketika di satu tempat yang kemudiannya di kenali sebagai Kusial (sekarang ini terletak di antara Machang dan Tanah Merah). Dikatakan kampung  itu mendapat nama “Kusial”, yang berasal dari perkataan “Ku” iaitu yang merujuk kepada ketiga-tiga orang putera Raja berkenaan yang “sial” iaitu yang bermaksud yang bernasib malang kerana terpaksa menjadi pelarian setelah dihalau dari negeri mereka sendiri.
Dari Kusial, mereka bertiga kemudiannya berpisah sekali lagi membawa haluan dan nasib masing-masing. Salah seorang daripada mereka  dikatakan telah menuju ke Kota Bharu, dipercayai ke Bunut Payong. Tuan Lembut pula dikatakan menuju ke Limbat yang merupakan pusat pemerintahan Kelantan, yang pada masa itu di perintah oleh Baginda Long Seri iaitu putera sulong Baginda Long Gaffar. Baginda Long Gaffar  yang mula-mula mengasaskan negeri Kelantan yang berpusat di Limbat adalah merupakan bapa saudara kepada Tuan Lembut.
Seorang lagi saudara Tuan Lembut , menurut   Ustaz Haji Wan Muhammad Ridha bin Tuan Guru Haji Daud Bukit Abal, tidak dapat dipastikan arah tujuannya. Tetapi menurut Nik Taib bin Haji Mohamad Limbat, saudara ketiga Tuan Lembut ini telah menuju ke Kroh, Kuala Krai.

Versi Kedua

Menurut Hajah Mariam bt Haji Nor, Tuan Lembut dikatakan merupakan Raja Muda Negeri Reman. Beliau terpaksa melarikan diri setelah membunuh ibu tirinya yang dikatakan  sangat kejam. Bagi mengelakkan daripada dikesan oleh tentera yang dihantar  bagi memburunya oleh ayahandanya, Tuan Lembut terpaksa menggunakan nama samara dan dikatakan beliau beberapa kali telah mengubah namanya sehingga akhirnya dikenali sebagai Nik Lembut.
Nik Mohamad bin Nik Yunus

Kisah ini hampir sama dengan apa yang diceritakan oleh Nik Mohamad bin Nik Yunus, di mana menurutnya, Tuan Lembut  adalah merupakan Raja Muda Negeri Reman. Ayahandanya mempunyai 2 orang isteri, di mana Tuan Lembut adalah merupakan putera sulong dari isterinya yang pertama. Sepatutnya, jika ayahandanya mangkat, beliaulah yang akan mewarisi tahta.

Datuk Nik Ali Nik Yunus, Pegawai Pembangunan Negeri (SDO) Pulau Pinang

Walau bagaimanapun perlantikannya sebagai Raja Muda tidak disenangi oleh ibu tirinya. Ekorannya, ibu tiri Tuan Lembut telah mempengaruhi  Raja Reman supaya menyingkirkan Tuan Lembut dari jawatan Raja Muda dan sekaligus  dapat melantik anakandanya iaitu saudara tiri Tuan Lembut sebagai pewaris tahta  negeri Reman yang baru.
Akibat daripada tindakan ibu tirinya yang cuba merampas  jawatan Raja Muda darinya, di samping perlakuan kejamnya terhadap Tuan Lembut, maka Tuan Lembut telah mengambil tindakan dengan membunuh ibu tirinya. Ayahanda Tuan Lembut dikatakan sangat marah, lalu telah menitahkan  supaya Tuan Lembut ditangkap. Bimbangkan akan tindakbalas ayahandanya, Tuan Lembut berserta dengan para pengikutnya telah melarikan diri ke Kelantan melalui Legeh di Tanah Merah, Kelantan.
Semasa dalam pelarian, Tuan Lembut telah beberapa kali menukar namanya bagi mengelakkan daripada dikesan atau ditangkap oleh tentera Reman. Menurut Nik Mohamad lagi, kisah ini disampaikan secara lisan oleh  Tok Ayah iaitu datuknya  iaitu Nik Sulaiman  bin Wan Yusof atau Tok Khatib Soh. semasa beliau tinggal bersama dengan datuknya itu di Kampung Kerasa. Menurutnya lagi, pada tahun 1958 iaitu semasa beliau berumur 16 tahun, Tok Ayah telahpun berusia lebih kurang  80 tahun. Tok Ayah atau lebih dikenali sebagai Haji Nik Sulaiman Limbat ini dikatakan selalu membonceng basikal bersamanya melalui batas-batas padi jika ingin ke pekan Peringat.

Haji Nik Sulaiman bin Wan Yusof atau lebih dikenali sebagai Haji Nik Sulaiman Limbat. Beliau berkahwin dengan sepupunya iaitu Nik Khadijah binti Haji Nik Ismail. Beliau merupakan cicit Tuan Lembut ibni Raja Nuh.

Diriwayatkan juga, semasa Haji Nik Sulaiman ini meninggal dunia, jenazahnya telah diletakkan di atas tandu yang besar yang di buat daripada batang pinang dan kemudiannya diusung ke tanah perkuburan keluarga di Kampung Berhala Lima. Di atas tandu itu, ditempatkan empat orang alim termasuklah anak saudaranya iaitu Tuan Guru Haji Daud Bukit Abal di setiap penjuru, bagi mengaji al-Quran sepanjang perjalanan ke tanah perkuburan. Istiadat permakamannya telah dijalankan mengikut seperti adat istiadat di Raja sebagaimana wasiatnya sebelum meninggal dunia. Menurut wasiat itu lagi, beliau mahu supaya beliau menjadi orang terakhir yang mengamalkan adat-istiadat di Raja.



Salasilah Tuan Lembut

Menurut Haji Nik Taib bin Haji Mohamad di dalam catatannya mengenai zuriat Tuan Lembut, dikatakan Tuan Lembut mempunyai seorang anak yang bernama Wan Isa ataupun dikenali sebagai Lebai Wan Isa. Wan Isa ini pula dikatakan mempunyai Sembilan orang anak.

Haji Nik Taib bin Haji Mohamad

Menurut Haji Abdul Aziz bin Yusof, Haji Nik Taib bin Haji Mohamad semasa hayatnya banyak menghabiskan masa dengan mencari dan mengumpul  “waris” iaitu zuriat keturunan Tuan Lembut. Mengikut perancangan awalnya, apabila siap catatan berkenaan dengan salasilah keturunan Tuan Lembut, beliau ingin mengadakan perhimpunan keluarga keturunan Tuan Lembut. Walau bagaimanapun hajatnya tidak kesampaian apabila beliau kembali ke Rahmatullah. Catatan berkenaan dengan anak-anak Tuan Lembut seramai 9 orang yang ada pada hari ini adalah merupakan hasil daripada usaha beliau.


Komplek permakaman Tuan Lembut yang mengandungi beberapa buah makam yang dipercayai anggota kerabatnya yang terdekat

Makam Tuan Lembut yang terletak di Tanah Perkuburan Kampung Machang, Pasir Tumboh, Kota Bharu Kelantan. Perhatikan batu nesan besar yang dipecayai diangkut sendiri dari Bukit Marak dan diletakkan di situ sebagai tanda supaya jenazahnya kelak dimakamkan di situ



Tuan Lembut dikatakan  telah menetap di  Kampung Kerasak di Limbat dan berkhidmat kepada Raja Limbat sehingga ke akhir hayatnya. Selepas beliau meninggal dunia, beliau dimakamkan di “Tanjong” iaitu tanah perkuburan Kampung Machang, Pasir Tumboh (menurut Nik Yah binti Nik Sulaiman, Tuan Lembut dimakamkan di Tanjong. Apabila diselidiki, memang kawasan di mana terletaknya makam Tuan Lembut berbentuk seperti “tanjong” dan agak terpisah dengan kubur-kubur penduduk yang lain).  Menurut riwayatnya, semasa hayatnya, Tuan Lembut telah mewasiatkan supaya beliau dimakamkan di situ apabila  meninggal dunia kelak. Selain itu dikatakan juga beliau telah mengambil sendiri batu yang besar dari Bukit Marak untuk dijadiakan batu nesanya. Batu besar tersebut kemudiannya telah   diletakkan di situ sebagai tanda akan makamnya kelak.
Begitulah serba sedikit kisah yang diceritakan oleh orang-orang tua kita secara lisan berkenaan dengan asal-usul keturunan Tuan Lembut atau Nik Lembut. Berdasarkan kepada kisah di atas dapatlah saya simpulkan bahawa Tuan Lembut adalah seorang Putera Raja yang menjadi Putera Mahkota atau Raja Muda. Cuma yang menimbulkan kekeliruan adalah berkenaan dengan negeri dan kisah yang menyebabkan beliau terpaksa membawa diri sehingga akhirnya menetap di Limbat sehingga ke akhir hayatnya,terpaksa  meninggalkan bukan sahaja keluarga, bahkan juga darjat keturunan, kuasa dan pangkat.
Memang tidak dapat dinafikan terdapat kekeliruan tentang sama ada Tuan Lembut menjadi Raja Muda Reman atau Jambu, tetapi apa yang pasti ialah  ayahanda Tuan Lembut iaitu Raja Nuh ibni Raja Long Nik adalah putera Raja Long Nik iaitu Raja Negeri Reman. Melalui konsep persekutuan yang diamalkan dalam pemerintahan Empayar Kesultanan Melayu Patani, Raja Nuh telah dilantik bagi menjadi Raja di Negeri Jambu yang menjadi ibukota empayar tersebut. Jadi dapatlah disimpulkan di sini bahawa walaupun kisah tentang asal-usul Tuan Lembut  boleh dipertikaikan kebenarannya tetapi  ia mempunyai kaitan. Berkemungkinan juga kisah asal-usul Tuan Lembut ini sengaja ditokok-tambah sebagai starategi bagi mengelirukan musuh khususnya Siam yang pada masa itu sedang bermahajaralela memburu saki-baki pejuang dan keturunan Raja yang menentang penjajahan Siam ke atas Empayar Kesultanan Melayu Patani.
Di dalam pentadbiran, zuriat keturunan Tuan Lembut juga tidak hebatnya. Ramai yang berjaya menjawat jawatan tertinggi   dalam kerajaan, antara yang paling menonjol ialah anak-anak Nik Yunus bin Nik Sulaiman iaitu Nik Mohamad, Nik Mahmud (Nik Soh) dan Nik Ali. Itulah sekadar beberapa nama zuriat keturunan Tuan Lembut yang berjaya di dalam berbagai bidang yang diceburi.
Akhir kata, renung-renungkanlah satu pesanan yang disampaikan oleh Nik Yunus bin Nik Sulaiman sebelum beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir, “keturunan kita ini adalah keturunan orang baik-baik, jagalah keturunan kita ini”. Pesanan dan amanat ini sebenarnya mempunyai maksud yang sangat mendalam dan mungkin amat sukar untuk difahami tanpa terlebih dahulu mengkaji sejarah dan asal-usul Tuan Lembut khususnya dan Raja-Raja Melayu umumnya. InsyaAllah maksud “keturunan orang baik-baik” ini akan diulas dalam artikel yang akan datang.


No comments:

Post a Comment